I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sabtu, 18 Jun 2011

~Dia......Kekasihku~

“Rapat-rapatkan saf,lurus-luruskan saf.”

Jemaah yang ada di dalam masjid bingkas bangun, dengan niat menunaikan solat subuh pada hari itu. Aku yang terkiyal-kiyal mencari punca suara tersebut lari ke arah tiang masjid yang berdekatan, takut di lihat tidak sekali menunaikan solat subuh berjemaah. Satu demi satu aku memerhatikan gerak-geri imam yang berada di bahagian paling hadapan. Hebat, itu yang terlintas di fikiranku sebaik sahaja imam tersebut sujud menghadap Ilahi. Kenapa manusia sanggup meninggikan punggung lebih daripada kepala mereka?” fikirku sendirian.


“Adik tak solat sekali?” Suara yang cukup lunak itu mengalihkan pemerhatianku daripada terus melihat imam. Cantik, rupa paras dan suaranya cukup membuat aku menitiskan air mata. Inilah pertama kali ada insan yang sudi mengajakku menunaikan solat.


 “Abang ni sape yek? Saya tak pernah nampak pun di masjid ni.”. Mendengar sahaja soalanku itu, lelaki tersebut terus tersenyum. 


“Abang sentiasa ada di hati umat yang mengingati abang. Di sini, ada yang terlalu rindukan pertolongan abang.”ujarnya.



Pelik, itu yang terdetik dalam hatiku. Dari mana datangnya insan ini? Tiba-tiba muncul secara menyejut, tersenyum dan berkata perkara yang sukar difahami. Mukanya cukup putih, berseri dan bersih. Setiap wanita yang memandangnya pasti akan terpikat dengan gaya dan percakapannya yang lembut serta suara yang lunak. Dari pemerhatianku, gayanya tidaklah seperti seorang imam ataupun bilal yang akan mengetuai solat. Tetapi dengan penampilan jubah yang tidak melebihi buku lali, kopiah putih yang tersegam indah di kepala dan tasbih yang tergantung di pergelangan tangan seolah menunjukkan dia adalah seorang ulama. Ulama yang satu ketika dahulu pernah menjulang zaman kegemilangan islam. Ah! Fikiranku mula menuju ke arah kegilaan berimaginasi.


“Pertolongan? Apa ye bang..boleh bagitahu?”



“Hati dan jiwa.”



“Hati dan jiwa? Tak faham la bang. Abang ni siapa sebenarnya? Jangan culik saya, saya budak miskin. Takde maknanya abang culik saya.” Mendengar sahaja percakapanku itu, lelaki tersebut tersenyum lebar. Mungkin melucukan,fikirku.




“Adik kenal dengan Allah dan Muhammad?”



“Tak la bang. Saya hanya selalu dengar nama tu dalam masjid ni. Tapi tak siapa pun sudi bagitahu saya. Mungkin nama imam dan bilal.Hehehe..” ketawaku sendirian.



“Itu nama Pencipta dan Kekasih adik, dunia dan akhirat.”



“Pencipta dan Kekasih? Mak saya yang lahirkan saya la bang,bukan Allah dan Muhammad.” Jelas menyerlah kejahilanku terhadap agama saat itu.



Sebaik sahaja mendengar celotehku itu, lelaki tersebut dengan perlahan mengusap kepalaku. Saat itulah aku melihat dengan jelas air matanya jatuh ke lantai masjid, satu demi satu. Sekali lagi fikiranku mula mencari-cari identiti sebenar lelaki ini. Kenapa dia menangis sebaik sahaja mendengar jawapan yang terkeluar dari mulutku ini? Aku mula tidak memahami situasi. Mungkin sekali kata-kataku sebentar tadi terlalu sukar untuk diterima olehnya.Atau mungkin ianya hanya sekadar lakonan yang selalu dimainkan oleh watak-watak jahat hebat yang selalu ku lihat di kaca televisyen.Ah! masakan insan yang berjubah sempurna dan berwajah umpama sutera ini mampu memainkan watak lakonan jahat seperti rosyam noor. Melihat terus air matanya jatuh, aku sedikit mengerti. Teringat pula pesan ibu.



“Selalunya, orang yang benar-benar mengasihi kita akan menangis.”


“Menangis kenapa bu?”


“Menangis melihat orang yang mereka cukup sayang berada di tengah-tengah kebuntuan. Tak cukup ilmu dan selalu mendapat penghinaan daripada manusia. Yang penting, tak dapat hidayah.”



Siapa insan ini? Hatiku mula tertarik untuk mengenalinya. Kesalahan daripada kata-kataku sebentar tadi membuatkan perasaan ini menjadi agak gementar dan serba salah dibuatnya. Pesanan ibu mula bermain-main di benak fikiran.


Aku yang kian berasa serba salah lantas memohon maaf sambil mencari-cari sapu tanganku.



"Nah bang, sapu tangan. Maafkan saya sekiranya kata-kata saya tadi buat abang terasa hati.” Kataku memujuk. Lelaki tersebut dengan lembut menyambut sapu tanganku itu lalu melihat ke arah jemaah solat yang pada waktu itu sedang membaca doa qunut. Sambil menyapu air matanya, dia bingkas bangun dan berjalan mendekati jemaah tersebut. 

Sebelum ghaib daripada pandanganku, lelaki itu sempat berpaling ke arahku.“Nama abang Muhammad…..Muhammad bin Abdullah”                         



1 ulasan: