I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sabtu, 18 Jun 2011

~Dia......Kekasihku~

“Rapat-rapatkan saf,lurus-luruskan saf.”

Jemaah yang ada di dalam masjid bingkas bangun, dengan niat menunaikan solat subuh pada hari itu. Aku yang terkiyal-kiyal mencari punca suara tersebut lari ke arah tiang masjid yang berdekatan, takut di lihat tidak sekali menunaikan solat subuh berjemaah. Satu demi satu aku memerhatikan gerak-geri imam yang berada di bahagian paling hadapan. Hebat, itu yang terlintas di fikiranku sebaik sahaja imam tersebut sujud menghadap Ilahi. Kenapa manusia sanggup meninggikan punggung lebih daripada kepala mereka?” fikirku sendirian.


“Adik tak solat sekali?” Suara yang cukup lunak itu mengalihkan pemerhatianku daripada terus melihat imam. Cantik, rupa paras dan suaranya cukup membuat aku menitiskan air mata. Inilah pertama kali ada insan yang sudi mengajakku menunaikan solat.


 “Abang ni sape yek? Saya tak pernah nampak pun di masjid ni.”. Mendengar sahaja soalanku itu, lelaki tersebut terus tersenyum. 


“Abang sentiasa ada di hati umat yang mengingati abang. Di sini, ada yang terlalu rindukan pertolongan abang.”ujarnya.



Pelik, itu yang terdetik dalam hatiku. Dari mana datangnya insan ini? Tiba-tiba muncul secara menyejut, tersenyum dan berkata perkara yang sukar difahami. Mukanya cukup putih, berseri dan bersih. Setiap wanita yang memandangnya pasti akan terpikat dengan gaya dan percakapannya yang lembut serta suara yang lunak. Dari pemerhatianku, gayanya tidaklah seperti seorang imam ataupun bilal yang akan mengetuai solat. Tetapi dengan penampilan jubah yang tidak melebihi buku lali, kopiah putih yang tersegam indah di kepala dan tasbih yang tergantung di pergelangan tangan seolah menunjukkan dia adalah seorang ulama. Ulama yang satu ketika dahulu pernah menjulang zaman kegemilangan islam. Ah! Fikiranku mula menuju ke arah kegilaan berimaginasi.


“Pertolongan? Apa ye bang..boleh bagitahu?”



“Hati dan jiwa.”



“Hati dan jiwa? Tak faham la bang. Abang ni siapa sebenarnya? Jangan culik saya, saya budak miskin. Takde maknanya abang culik saya.” Mendengar sahaja percakapanku itu, lelaki tersebut tersenyum lebar. Mungkin melucukan,fikirku.




“Adik kenal dengan Allah dan Muhammad?”



“Tak la bang. Saya hanya selalu dengar nama tu dalam masjid ni. Tapi tak siapa pun sudi bagitahu saya. Mungkin nama imam dan bilal.Hehehe..” ketawaku sendirian.



“Itu nama Pencipta dan Kekasih adik, dunia dan akhirat.”



“Pencipta dan Kekasih? Mak saya yang lahirkan saya la bang,bukan Allah dan Muhammad.” Jelas menyerlah kejahilanku terhadap agama saat itu.



Sebaik sahaja mendengar celotehku itu, lelaki tersebut dengan perlahan mengusap kepalaku. Saat itulah aku melihat dengan jelas air matanya jatuh ke lantai masjid, satu demi satu. Sekali lagi fikiranku mula mencari-cari identiti sebenar lelaki ini. Kenapa dia menangis sebaik sahaja mendengar jawapan yang terkeluar dari mulutku ini? Aku mula tidak memahami situasi. Mungkin sekali kata-kataku sebentar tadi terlalu sukar untuk diterima olehnya.Atau mungkin ianya hanya sekadar lakonan yang selalu dimainkan oleh watak-watak jahat hebat yang selalu ku lihat di kaca televisyen.Ah! masakan insan yang berjubah sempurna dan berwajah umpama sutera ini mampu memainkan watak lakonan jahat seperti rosyam noor. Melihat terus air matanya jatuh, aku sedikit mengerti. Teringat pula pesan ibu.



“Selalunya, orang yang benar-benar mengasihi kita akan menangis.”


“Menangis kenapa bu?”


“Menangis melihat orang yang mereka cukup sayang berada di tengah-tengah kebuntuan. Tak cukup ilmu dan selalu mendapat penghinaan daripada manusia. Yang penting, tak dapat hidayah.”



Siapa insan ini? Hatiku mula tertarik untuk mengenalinya. Kesalahan daripada kata-kataku sebentar tadi membuatkan perasaan ini menjadi agak gementar dan serba salah dibuatnya. Pesanan ibu mula bermain-main di benak fikiran.


Aku yang kian berasa serba salah lantas memohon maaf sambil mencari-cari sapu tanganku.



"Nah bang, sapu tangan. Maafkan saya sekiranya kata-kata saya tadi buat abang terasa hati.” Kataku memujuk. Lelaki tersebut dengan lembut menyambut sapu tanganku itu lalu melihat ke arah jemaah solat yang pada waktu itu sedang membaca doa qunut. Sambil menyapu air matanya, dia bingkas bangun dan berjalan mendekati jemaah tersebut. 

Sebelum ghaib daripada pandanganku, lelaki itu sempat berpaling ke arahku.“Nama abang Muhammad…..Muhammad bin Abdullah”                         



Sempurnakah Ibadah Kita...!?

     Mungkin seringkali berlaku dalam hidup kita, apabila kita berniat untuk melakukan sesuatu ibadah seumpama solat dan sebagainya, kita akan terkenang pada para sahabat baginda dan alim ulama. Ibadat solat mereka teramat hebat sehingga apa yang ada di tubuh mereka langsung tidak lagi diambil peduli. Ada antara mereka yang masih teguh berdiri walaupun telah berkali-kali di panah. Khusyuk mereka terlalu jauh berbanding kita, umat akhir zaman ini. Sebab apa?  tepuk dada,tanya iman...

   Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman ketika saya sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Peristiwa ini berlaku antara rakan saya dengan seorang bangsa lain. Seingat saya, peristiwa itu berlaku ketika azan maghrib sedang berkumandang.  Rakan saya yang pada waktu itu sedang membasuh baju di tandas, bergegas untuk pergi ke surau. Namun, ketika dia baru sahaja ingin keluar dari tandas, tiba-tiba seorang pelatih berbangsa lain menegurnya.





   "Hai Kawan, mau pergi mana..?"

   "Oh, saya mahu pergi solat di surau.."

   "Sya tengok awak semua orang islam pelik. Kenapa kamu semua sembah dinding? setiap kali saya lalu di rumah suci kamu, saya nampak kamu semua sujud menghadap dinding. Mana tuhan kamu? "
    
   "Oh, bukan macam itu. Kami sembah tuhan kami, tapi kami memang tak pernah nampak dia,.."

   "Kamu macam orang bodoh. Tak nampak tuhan tapi sembah jugak.."


   Sebaik mendengar jawapan tersebut, rakan saya lantas meletakkan baldi yang ada di tangan dan segera menuju  ke arah pelatih  itu. Dengan tidak semena-mena, rakan saya mengetuk (memukul) kepalanya dengan agak kuat, membuatkan pelatih itu terjerit kecil dek kerana kesakitan. Lalu dia pun bertanya;


   "Hei, kenapa kamu pukul saya?"

   "Ha..! Rasa tak sakit tu..?"

   "Mesti la...kamu pukul saya.. mesti sakit..."

   "Kamu nampak tak sakit tu..?"

   "Sakit mana boleh nampak, rasa saja.."
   

   "Ha..! Macam tu lah tuhan kami. Kami tak nampak Dia, tapi kami boleh merasakanNya. Setiap kali kami berdiri menghadapNya, kami memang tak nampak wajahNya, tapi kami rasa nikmat dan kebesaranNya..."   



***

                                                                     

   Bangga saya, kerana rakan saya berjaya menjawab persoalan itu dengan baik dan tepat, walaupun terpaksa menyakiti pelatih tersebut. Bukan apa, sekadar untuk membuktikan bahawa Allah itu ada, cuma kita yang tidak diizinkan untuk melihatNya. Yang amat penting, kita dapat merasainya.. Rasa..? Hanya insan yang benar-benar khusyuk sahaja yang dapat merasai Kebesaran dan Keagungan Allah ketika solat.





   Ini lah persoalan yang amat penting., rasa...... Adakah solat kita selama ini, kita merasai sesuatu yang amat hebat dalam hati kita? Atau kita menghadap Allah semata-mata melalui ingatan, bukan hati.... Fkiran kita sibuk dan cuba untuk mengingati Allah sedangkan hati kita berada di tempat lain, jauh daripada Allah... 
Nabi Muhammad solat dalam keadaan yang amat sempurna. Nabi Muhammad jaga setiap tingkah laku mahupun hati ketika solat. Bacaan, pergerakan yang betul dan hati yang khusyuk. Mungkin mustahil untuk kita menyamai Baginda, tapi apa salahnya kita cuba....



   Ramai dalam kalangan sahabat yang mengadu tidak khusyuk dalam solat mereka, tapi pada masa yang sama mereka lalai dalam mengingati Allah sepanjang masa. Ramai daripada kita termasuk saya yang hanya mengingati Allah ketika solat. Habis solat, kita disibukkan dengan hal-hal dunia seperti assigment dan facebook.  Kita jarang mengingati Allah luar daripada solat. Kita jarang melakukan perkara yang kita lakukan ketika solat seperti menundukkan pandangan dan merendah diri. Kita jarang, betul-betul kita jarang buat.... 







   Teringat saya tentang sebuah kisah ketika sebaik sahaja Allah siap menciptakan Syurga. Allah memerintahkan malaikat untuk pergi melihat syurga. Sebaik melihat syurga, malaikat itu datang bertemu Allah dan memuji-muji kehebatan serta kenikmatan syurga. Setelah itu, Allah memagari ( mengisi ) syurga dengan syarat-syarat seperti solat, puasa dan sebagainya lalu Allah memerintahkan malaikat itu untuk pergi melihat syurga buat kali yang kedua. Sebaik malaikat melihat syurga itu, dia kembali menghadap Allah dan berkata;

    "Ya Allah.. apakah ada hambaMu yang lepas memasukinya Ya Allah... apakah ada..?"

Malaikat meragui kerana syarat untuk memasuki syurga itu teramatlah berat bagi manusia dan jin.






Kemudian Allah mencipta Neraka dan memerintahkan malaikat untuk melihatnya. Sebaik malaikat melihat Neraka, dia kembali kepada Allah lantas meluahkan rasa takut dan gerun terhadap azab yang ada di dalamnya. Lalu Allah memagari (mengisi) Neraka dengan syarat (sebab) seperti meninggalkan solat dan sebagainya. Malaikat diperintah untuk melihat Neraka buat kali yang kedua. Apabila malaikat melihat Neraka beserta syarat yang diletakkan oleh Allah, dia berkata;

"Ya Allah, apakah ada di antara hambaMu yang akan terlepas daripadanya (Neraka).. apakah ada..?"

Sekali lagi malaikat merasa ragu kerana syarat (sebab) untuk memasuki Neraka itu teramatlah mudah bagi manusia dan jin.





Kisah ini memberitahu kita, susahnya untuk memasuki syurga,senangnya dicampakkan ke dalam neraka.
Moga sama-sama kita muhasabah diri. Ingat, masuknya kita ke dalam syurga bukan kerana amal, tapi kerana ~Rahmat Allah~



Sekian....








            

   


Rabu, 15 Jun 2011

GERHANA BULAN @ ANONYMOUS !!?

     Kecoh pagi tadi apabila ramai rakan-rakan yang mula bersembang mengenai Anonymous, satu kumpulan "Hacker" yang dikatakan telah menggodam beberapa laman web kerajaan Malaysia. Tapi yang amat pelik, peristiwa penggodaman itu berlaku sewaktu terjadinya peristiwa gerhana bulan pagi tadi. Gerhana bulan yang dijangka berlaku sekitar pukul 1.00 pagi hingga 5.00 pagi menyebabkan sebahagian umat islam bangkit untuk menunaikan solat sunat gerhana bulan. Ada di antara masjid di sekitar kampung yang mengadakan majlis ilmu untuk mengenang dan mengambil iktibar di sebalik peristiwa besar tersebut.


















     Tidak kurang umat islam yang sibuk melayari facebook bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan "Hacker" yang dikatakan cuba menggodam laman web kerajaan. Saya yang berkesempatan untuk membuka facebook sekitar pukul 4.00 pagi terkejut apabila ada rakan yang mula membincangkan hal ini. Hati terdetik, moga mereka tidak lupa dengan peristiwa besar alam yang berlaku pada masa yang sama.


     Harap-harap ini bukan taktik sebarang pihak untuk mengalihkan tumpuan umat islam terhadap kebesaran Allah. Saya pun kurang pasti kenapa kumpulan "Hacker" tersebut cuba menggodam laman web kerajaan. Ada sebahagian berpendapat mereka marah dan tidak berpuas hati apabila kerajaan menyekat beberapa laman web di internet. Dari mana asal kumpulan ini pun masih diragui. Ini antara gambar yang terpapar di laman web yang dikatakan telah digodam kumpulan tersebut.



                              
    



                                          


     
     Ini pula laman web kerajaan yang dikatakan telah digodam oleh kumpulan tersebut. Saya cuba membukanya untuk kepastian, tapi google tak dapat mencari... (Problem sebab  digodam barangkali )....

  • SabahTourism.com
  • ASEAN connect
  • Bomba
  • Perbendaharaan Malaysia
  • Parlimen Malaysia
  • JobsMalaysia
  • Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
  • Majlis Sukan Negara


 ~Buat Renungan Bersama~


Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.



     Moga-moga ramai yang mengambil pengajaran di sebalik peristiwa gerhana bulan. Bukan mudah nak melihat peristiwa tersebut malah mengambil masa yang sangat lama. Solat gerhana bulan? hehe... harap kawan-kawan dapat menunaikan solat sunat tersebut. Kalau tak pandai atau malu nak lakukan, cukuplah sekadar bersyukur dan mengakui kebesaran Allah di hati. Setiap mata yang memandang bulan pagi tadi, sama-sama kita doakan moga dibukakan pintu hati dan terbentang jalan untuk mendekati Ilahi... ~Amin~

Sekian......

Selasa, 14 Jun 2011

Sukarnya Perjalanan Kita Sebagai Manusia...


video




Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: 2 mata yang takkan tersentuh 


oleh api NERAKA... mata yg berhirasah (brjga mlm di jlan Allah) dan mata yang 


menangis kerana takutkan Allah..

Isnin, 13 Jun 2011

Saat Wafat Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

video


Seorang yang maksum pun mengalami kesakitan yang teramat ketika roh dicabut...
Kita.....!?

IMAN 4 FLAT


Mungkin apa yang ingin aku sampaikan ini adalah perkara biasa bagi sesetengah individu. Namun aku harapkan, moga pengalaman hidup ini dapat dijadikan iktibar dan titik-tolak perubahan insan yang membacanya.InsyaAllah…


Aku berasal daripada keluarga yang serba kekurangan. Makan, minum dan pakaian jauh sama sekali seperti rakan-rakan yang lain. Mungkin ini yang menyebabkan aku kurang mempunyai sahabat yang dapat mendengar keluh-kesah hidupku. Seingat aku, hanya ada 3 insan yang teramat penting dan bermakna dalam hidup pada waktu itu; ibu, kakak dan abang cik. Mereka antara insan kurniaan tuhan yang sentiasa menjadi tempat untukku bergurau dan berjenaka. Sahabat? Saat itu aku masih belum memahami makna di sebalik perkataan itu.


Aku masih ingat ketika saat aku ingin melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi. Dengan berbekalkan duit hasil daripada pemberian saudara terdekat, aku membawa diri menuju ke sebuah negeri yang sebelum ini belum pernah ku jejaki. Seorang diri, bukan bersama keluarga seperti insan dan rakan-rakanku yang lain. Aku masih ingat kata-kata arwah ibu beberapa hari sebelum keberangkatanku.


“Alif tak payah pergilah Kedah. Kalau mak sakit ke, mati ke, Alif takkan sempat jumpa mak” kata-kata yang pada waktu itu sukar untukku tafsirkan dengan logik akal. Apa yang penting bagiku pada waktu itu ialah dapat melanjutkan pelajaran walau sejauh mana pun kaki ini perlu melangkah. Benak hati terfikir, mungkin ibu risau tentang perjalanan aku nanti. Jauh, dari Pahang menuju ke Kedah mengambil masa 10 jam dengan menaiki bas. Seorang diri pula. Allah ada ibu, Allah ada…


Alhamdulillah, dengan bekal hanya iman dan tawakal, akhirnya sampai juga kaki ini ke medan perjuangan ilmu bergelar Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah.Melihat rakan-rakan yang datang bersama keluarga, tergambar betapa gembiranya perasaan mereka. Bertuah, mereka patut bersyukur pada Ilahi. Ibu dan ayah mereka senang, ada kereta untuk membawa anak tersayang menuju ke medan perang. Ayah aku? Haha… teringat pula kereta lamanya yang tersadai di depan rumah. Ayah selalu bertarung dengan kereta kesayangannya itu. Sekali-sekala syukur jika kereta itu dapat dihidupkan. Tapi selalunya memang sukar mendengar dentuman enjin daripadanya. 


Harapan aku hanyalah satu, aku ingin memiliki satu-satunya angka yang cukup dikejar oleh pelajar ketika itu, 4.0 flat. Doa dan usaha aku gandakan dari hari ke hari demi mengejar kejayaan tersebut. Teringin sekali membawa balik angka tersebut dan menunjukkannya pada ibu. Walaupun ibu mungkin tidak mengerti apa makna di sebalik angka itu, cukuplah dapat melihat senyuman di wajahnya tatkala aku mengatakan aku antara pelajar cemerlang di kolej ini. Harapan itu aku simpan dan semat di dada. Adakah peristiwa itu telah tertulis di Lauh Mahfuz? Tuhan lebih mengetahui.


Aku masih ingat hari itu,hari khamis. Aku keluar dari bilik kuliah dan menuju ke kantin. Aku cuba meraba-raba poket, mencari sekiranya masih ada sisa-sisa wang yang masih tinggal. Harapanku hancur, poketku kosong. Duit elaun telah habis aku gunakan untuk membeli barang-barang untuk menghadapi kuliah dan peperiksaan nanti. Dengan niat berpuasa, aku melangkah longlai menuju ke arah bilik. Mataku masih memandang rakan-rakan yang sedang enak menjamu selera masing-masing. Kalau ikutkan nafsu, ingin saja aku pergi ke arah mereka dan meminjam wang seperti sebelum ini. Namun bila memikirkan hutang yang masih tidak dapat aku langsaikan, aku mengalah. Minum air paip lagi hari ni, desis hati kecilku.


Salah satu cara untuk aku menghilangkan rasa lapar adalah tidur. Cara itulah yang sering aku lakukan sejak daripada kecil lagi. Keluarga yang miskin menyebabkan kami sekeluarga sering menahan lapar sehingga berhari-hari lamanya. Mungkin sebab itu puasa tidak menjadi satu masalah buatku. Berlapar di siang hari sudah menjadi rutin waktu kecilku.Malam? minum air paip dan terus tidur.


Aku melemparkan badan yang kian penat di atas katil dan cuba untuk lelap. Peliknya pada hari itu, aku mudah melelapkan mata , tidak seperti selalu. Dalam tidur, aku bermimpi perkara yang amat aneh sekali. Bayangkan, dua buah kotak masing-masing berada di sebelah kiri dan kanan. Lalu dua kotak itu bergerak menuju ke tengah antara kiri dan kanan, bercantum menjadi satu kotak. Setelah lama kemudian, hanya salah satu kotak sahaja yang kembali ke tempat asalnya tadi iaitu di sebelah kanan sedang kotak yang asalnya berada di sebelah kiri masih kekal ditengah-tengah. 


Aku tersentak dengan deringan telefon bimbit yang berada di sisi. Dengan pandangan yang kurang jelas kerana tidak memakai cermin mata, aku melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Ni nombor ayah, desis hati. Tanpa berfikir panjang aku terus menjawab panggilan tersebut. Eh , kenapa suara abang aku yang keluar ni?mungkin talian di sana tidak berapa baik. Sebab itu suara ayah dah macam suara abang, fikirku.


“Alif, mak dah takde” kata-kata abang itu aku sambut dengan jeritan yang teramat. Sukar untuk aku percaya saat itu. Dalam keadaan wang yang kosong , aku bergegas menuju ke bilik sahabatku, Kamal. Saat itu, hanya dia yang terbit di benak fikiran. Mungkin dia dapat meminjamkan sedikit duit untuk tambang bas pulang nanti. Sesampai aku di muka pintunya, dia secara spontan melihat ke arahku lalu bertanyakan hajat kedatanganku. 


“Mak aku dah meninggal mal. Aku nak balik tapi takde duit. Pinjam RM50 mal. Nanti aku bayar balik”


“Takpe, kau tunggu sini, nanti aku datang balik. Tunggu kejap” itulah sifat seorang sahabat. Dengan menebalkan mukanya demi seorang sahabat yang dalam kesusahan, dia pergi dari satu bilik ke bilik yang lain untuk meminta sedikit bantuan bagi membantuku. Beberapa minit kemudian dia kembali dengan membawa sejumlah wang.



“Nah lif. RM150. Budak-budak ni yang kasi. Tak payah bayar balik. Kau buat tambang bas dan makan minum kau dalam perjalanan nanti. Aku tahu kau tak makan dari semalam. Nanti aku jumpa pensyarah untuk tanyakan tentang bas. Budak sekolah kebetulan balik cuti seminggu hari ni lif, jadi tiket bas ke timur banyak dah habis. Kau tunggu sini”



***



Mataku memandang tepat ke arah mayat itu. Aku masih tidak dapat menerima hakikat tersebut. Itu bukan ibuku. Aku memandang ke arah langit lalu bertanya seolah-olah insan yang sudah kehilangan akal dan akidah. Ya Allah, apa dosa aku sehingga kau uji aku sebegini rupa. Air mata lantas membasahi pipi , seperti menjawab persoalanku. Aku pergi tanpa redha ibuku… aku ingat kata-kata ibu waktu itu…


“Alif tak payah pergilah Kedah. Kalau mak sakit ke, mati ke, Alif takkan sempat jumpa mak”


Keberkatan dalam hidupku mula hilang , itu yang dapat aku rasai. Peperiksaan akhir semester satu merupakan penyeksaan buatku. Sukar sekali untuk aku menjawab persoalan yang diberi walaupun sebenarnya aku mengetahui jawapannya. Betul, walaupun aku tahu jawapan di sebalik soalan, aku masih tidak mampu menjawabnya. Sukar untuk difahami, tapi itulah apa yang aku alami. Waktu itu aku mulai sedar, angka yang selama ini aku kejar tidak mungkin dapat aku miliki. Satu sahaja doa yang sering aku panjatkan pada Ilahi.


“Ya Allah, sekiranya Engkau tidak mengizinkan aku untuk memiliki 4 flat dalam pelajaranku, izinkanlah aku mendapat 4 flat dalam imanku Ya Allah. Amin”


Saat itu barulah aku benar-benar sedar, aku terlalu mengejar 4 flat sehingga aku lupa tentang keberkatan daripada seorang ibu. Apabila keputusan diumumkan, hanya seorang pelajar sahaja yang mendapat 4 flat dalam kolejku. 4 flat, yang terbaik dan sempurna sekali,semua A. Sehingga hari ini baru aku sedar, bukan 4 flat itu yang aku kejar. Tapi iman 4 flat, iman yang sempurna daripada semua segi. Semuanya A, seperti para sahabat baginda Nabi Muhammad S.A.W.. Ya Allah, kurniakan aku iman 4flat, iman yang sempurna……



***



Pada kawan-kawan dan para sahabat yang membaca, harap kamu semua dapat mengambil iktibar. Sampai saat ini, keberkatan dalam menuntut ilmu masih saya tercari-cari. Usaha telah saya lipat gandakan, pensyarah dan tenaga pengajar telah sehabis usaha saya hormati. Namun kemudahan dalam menuntut ilmu tidak lagi saya rasai seperti dulu. Keputusan dalam peperiksaan semakin menurun dan tekanan dalam hidup semakin bertambah. Kenapa? Kerana IBU. Saya berasal dari keluarga yang susah dan waktu penghijrahan saya ke Kedah itu adalah saat dimana ibu sedang mengalami sakit tenat. Tapi saya tetap dengan pendirian untuk menuntut ilmu dengan harapan dapat membetulkan umat islam dan diri sendiri. Sedangkan saya tidak sedar saya dalam kemurkaan Allah. Sehingga hari ini saya berdoa, moga Allah ampunkan dosa saya terhadap ibu. Tiap-tiap pagi saya hadiahkan pahala Al-Mathurat buat ibu. Tapi masih sehingga kini belum terjawab persoalan di benak fikiran. Anak soleh atau anak derhaka aku ini?


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 


(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)



Ingat sahabat sekalian, nabi menyebut “anak yang soleh”. Ada satu syarat yang teramat berat sekali di situ iaitu soleh. Senangnya soleh di mata manusia, tetapi sukarnya untuk soleh di sisi Maha pencipta. Terima Kasih.






Ahad, 12 Jun 2011

Salam Sahabat

     Pertama sekali saya ingin memohon maaf sekiranya apa yang terkandung di dalam blog ini tidak menepati minat dan keinginan pembaca. Saya masih setahun jagung dalam menulis blog. hehe... Harap para sahabat dapat memberi tunjuk ajar dan cara menggunakan blog dengan baik. Takut juga jika tersalah guna, buruknya mendapat balasan di padang Masyar. Moga blog ini menjadi salah satu jambatan saya untuk lebih mendekati Ilahi dan mencintai nabi. Petunjuk dan bimbingan para sahabat amat saya perlukan demi memastikan apa yang akan saya tulis dan bentangkan suatu hari nanti tidak menjadi punca terbitnya rasa iri dan perasaan tidak puas hati. Moga Allah sentiasa bersama kita... InsyaAllah...



     

     Akhir kalam, semoga kita sentiasa dirahmati dan diredhai oleh Allah s.w.t.. ~Amin~